Monday, March 11, 2013

Sejarah Melaka

Melaka amat dikenali kerana keunikan sejarahnya. Kesultanan Melayu Melaka diasaskan oleh Parameswara, seorang Putera Srivijaya beragama Hindu yang berasal dari Palembang di antara tahun 1400 hingga tahun 1403.

Parameswara telah terlibat dalam peperangan merebut takhta kerajaan Majapahit pada akhir abad ke-14. Setelah ditumpaskan oleh Majapahit, baginda telah lari mencari perlindungan ke Temasik yang pada ketika itu dikuasai oleh Siam. Setelah diusir dari Temasik oleh penjajah dari Siam, pada tahun 1396, beliau dan pengikut-pengikutnya mengundurkan diri ke Muar dan kemudiannya ke Sungai Ujong sebelum singgah di Bertam iaitu berdekatan dengan muara sungai Melaka.

Semasa berburu di muara Sungai Bertam, Parameswara ternampak seekor  pelanduk  menendang salah seekor daripada anjing-anjing pemburunya. Parameswara tertarik dengan kegagahan pelanduk itu lalu beliau memutuskan membina sebuah penempatan di kawasan tersebut. Selepas menanyakan nama pokok (Pokok Melaka) yang diteduhnya, Parameswara menamakan tempat itu "Melaka".



Pilihan Parameswara begitu tepat sekali kerana kedudukan Melaka yang strategik. Lokasinya di tengah-tengah tebing Selat Melaka yang menghubungkan negara China ke India dan Timur telah menjadikannya tempat yang amat sesuai sebagai pusat perdagangan. Kedatangan pedagang-pedagang Arab serta pedagang-pedagang dari Timur dan Barat telah menjadikan Melaka sebagai sebuah pelabuhan entrepot yang sibuk dengan ratusan kapal yang singgah setiap tahun. 

Parameswara memeluk Islam pada tahun 1409 dan telah menggelar diri baginda sebagai Raja Iskandar Syah. Baginda telah berkahwin dengan Puteri Pasai, Indonesia. Pada tahun 1409 juga, Laksamana Cheng Ho telah singgah di Melaka dalam rangka lawatan beliau untuk meneroka dunia. Pada 1411, Parameswara telah membuat pelayaran melawat negara China dengan rombongan pengiring sebanyak 540 orang untuk pertemuan dengan Maharaja Ming, Yung Lo. Maharaja Yung Lo juga mengiktiraf Parameswara sebagai raja Melaka.

Pemerintahannya itu berkembang dengan pesat dan menjadi sebuah pelabuhan yang terpenting di Kepulauan Melayu pada abad ke-15 dan ke-16. Tambahan pula, Melaka merupakan tempat perdagangan rempah dengan berfungsi sebagai pintu kepada negeri-negeri rempah untuk memasarkan rempah mereka.


Faktor-faktor yang menyumbang kepada Melaka menjadi sebuah negeri yang maju adalah kerana pelabuhannya terlindung daripada ancaman Monsun Barat Daya dan Monsun Timur Laut. Pedagang-pedagang dari Jawa, Arab, India, China dan lain-lain dapat berlindung di Melaka sehinggalah keadaan selamat untuk mereka ke laut semula.




No comments:

Post a Comment